Borhan hasilkan buku ‘Biografi seorang Pengarah Penjara Merintis Ranjau Kehidupan’
Borhan hasilkan buku ‘Biografi seorang Pengarah Penjara Merintis Ranjau Kehidupan’
Foto Veteran Penjara |
Oleh ZIHAN ZARI
KAJANG - BEKAS Pengarah Majlis Sukan Perak, Borhan Shamsuddin tampil dengan karya sulungnya berjudul ‘ Biografi seorang Pengarah Penjara Merintis Ranjau Kehidupan’
Borhan dilahirkan di Padang Rengas, Perak pada 14 Mac 1962 lulusan Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) 1984 dan Diploma Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 1988.
Borhan berpengalaman luas dalam sukan olahraga pernah dilantik pengurus sukan dalam dan luar negara menjadikan bapanya sebagai tempat rujukan dan mendapatkan pandangan khususnya dalam mengurus dan mengelolakan bidang sukan.
Foto Veteran Penjara |
Pernah mewakili Perak di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM), Sukan Malaysia (SUKMA) dan menyertai acara 200 meter di Kejohanan Triginal Inter Varsity Games, Hong Kong ketika di Universiti Malaya.
“Buku ini memaparkan liku-liku perjalanan kehidupan bapanya, Shamsuddin Jaafar ketika usianya 15 tahun pada 18 Mac 1954 sebagai budak pejabat di Pejabat Daerah Kinta, sebagai anggota tentera di Batalion Pertama Singapore Guard Regiment pada 19 Mac 1954 kemudiannya dengan di Jabatan Penjara Malaysia pada 21 Ogos 1958.
Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Besar Penjara (Inspektor) kemudiannya dilantik sebagai Komandan di Pusat Latihan Pegawai Penjara pada 25 September 1979 hingga 31 Januari 1982 dan bersara sebagai Pengarah Penjara Taiping pada 15 Mac 1991 dengan menyandang jawatan Penolong Kanan Komisioner Penjara (SAC).
Buku ini sesuai dibaca sebagai sumber rujukan dan inspirasi untuk atlet muda yang berkecimpung dalam sukan olahraga disamping memberikan motivasi kepada anggota beruniform khususnya anggota Jabatan Penjara Malaysia hari ini, ” kata Borhan kepada BebasNews.
Foto Veteran Penjara |
Dilantik sebagai jurulatih untuk Sukan Asia 1970 di Bangkok, Sukan Asia Tehran 1974 dan 1978 di Bangkok serta Sukan Olimpik di Munich 1972, Pesta Sukan Singapura 1974, Kejohanan Olahraga Jemputan Pakistan Lahore dan Sukan SEA Kuala Lumpur 1977.
Shamsuddin telah mendidik dan melatih ramai jagoan atlet kebanyakannya adalah hasil dari sentuhan di bawah bimbingnya dengan penuh berdisiplin yang telah mengharumkan nama Malaysia.
Antaranya ialah Allahyarham Ramli Ahmad, Datuk Rabuan Pit (Raja Pecut Asia 1982) , Amir Sharafuddin, Roslan Omar, Datuk Ellaron Alfred Angin, Datuk Baba Singhe Payadesa, Allahyarham Mohd Hassan Osman , Abdul Rahman Koya Kutty, Datuk Marina Chin, Chairme Gomez, Junaidah Aman (Ratu Pecut Asia 1970), rangkaian ratu balapan emas 4x100 dan 4x400m (V. Angamah, Datuk Mumtaz Jaffar, Datuk Zaiton Othman dan Saik Oik Cum) serta beberapa nama lagi.
Di atas sumbangan besar Shamsuddin kepada negara dalam sukan olahraga beliau telah dianugerahkan ‘National Award for Coaching Excellence’ 2009 dari Majlis Sukan Malaysia (MSN).
Foto POA |
Apa yang membanggakan, bukan calang-calang orangnya , beliau adalah merupakan anak Melayu pertama pemegang ‘Tali Pinggang Hitam ’ seni bela diri judo diperakui dunia. Beliau dianugerahkan Diploma 1st-Dan (Degree) setelah menamatkan kursus dengan cemerlang di Kodokan Judo Institute (KJI), Tokyo pada 1968 oleh Presiden ke-3 KJI, Risei Kano.
Berkat usaha gigih dan sentuhan kepakarannya beliau berhasil melatih lebih 2,000 pegawai penjara di Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping (PULAPEN) dan melahirkan jurulatih judo berwibawa antaranya Zuljadan Yeop dan Ahmad Ramli.
Tokoh seni bela diri judo, atlet dan jurulatih sukan olahraga ini telah kembali ke rahmatullah pada usia 86 tahun, hari Rabu 2 Mac 2022 jam 10.16 malam akibat serangan jantung di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Jenazahnya telah dikebumikn di Tanah Perkuburan Tekah, Assam Kumbang bersebelahan Stadium Sultan Yusof, PULAPEN.
Allahyarham meninggalkan isteri, Hajjah Zauyah Hj Tak dan 6 orang anak termasuk bekas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin kini dilantik Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Apa yang membanggakan, walaupun kejayaan Allahyarham hampir 55 tahun berlalu gelarannya sebagai anak Melayu pertama pemegang tali pinggang hitam judo melakar sejarah. Namanya kekal terpahat kukuh di KJI, 1-16-30 Kasuga, Bunkyo-ku, Tokyo.
Bak kata pepatah, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”
Allahyarham pesara Penolong Kanan Komisioner Penjara (SAC) berjiwa besar, berdisiplin dan berdedikasi tinggi menyerahkan sepenuh tenaga dan jiwa raganya ketika berkhidmat di Jabatan Penjara Malaysia.
‘Biografi seorang Pengarah Penjara Merintis Ranjau Kehidupan’ telah dilancarkan oleh bekas Komisioner Jeneral Penjara, Dato' Sri Zulkifli Omar sempena Mesyuarat Perwakilan Persatuan Pegawai Penjara Malaysia (POA) kali ke-72 di Pusat Koreksional Perlis.
Mereka yang ingin mendapatkan buku setebal 213 halaman ini, bolehlah berhubung terus dengan Persatuan Pegawai Penjara Malaysia (POA), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Bukit Wira 43000 Kajang, Selangor, di talian 03-8732 8000.
Ulasan