Sumbangan Kenderaan Kepada K1M, Kolej Komuniti Darulaman
Sumbangan Kenderaan Kepada K1M, Kolej Komuniti Darulaman
19 Oktober 2015
Oleh ZIHAN ZARI
SUNGAI PETANI, 18 Okt (MalaysiaAktif) — KOMUNITI 1 Malaysia (K1M) Parlimen Sungai Petani hari ini menerima kenderaan terpakai Isuzu Trooper yang boleh digunakan semula untuk keperluan kerja sukarela.
Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Kedah, Normah Ramli berkata, “ini kali pertama di Kedah pihaknya menyumbangkan kenderaan terpakai kepada K1M Parlimen Sungai Petani.”
Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengarah Penerangan Kedah, Dr. Haniff Hassan, di majlis Penyampaian Sumbangan Kenderaan Terpakai untuk kegunaan masyarakat dan perkhidmatan sukarela di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda, di sini.
“Kesemua lima buah K1M, iaitu Mukim Kuala/Haji Kudong, Mukim Pekula, Mukim Rantau Panjang, Mukim Simpor dan Mukim Bukit Meriam dalam Parlimen Sungai Petani merupakan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan kelolaan Jabatan Penerangan Kedah, ”katanya lagi.
Di majlis sama, Kolej Komuniti Darulaman, Jitra turut menerima kenderaan pacuan empat roda Isuzu Trooper terpakai untuk tujuan pelajar baik pulih dan mempelajari enjin kenderaan tersebut.
Menurut Pensyarah Unit Automotif Kolej Komuniti Darulaman, Kiwamuddin Othman, “sumbangan kenderaan daripada Jabatan Penerangan dapat digunakan oleh pelajarnya membuat latihan bengkel automotif.
Buat masa ini kolej tersebut tidak mempunyai kenderaan pacuan empat roda untuk dibuat latihan.”
Pengerusi K1M Mukim Kuala/Haji Kudong, Badruel Nizam Ibrahim,32, berkata, “sumbangan ini amat bermakna bagi penduduk setempat.”
Sementara itu, Penghulu Mukim Simpor merangkap ahli jawatankuasa K1M Mukim Simpor, Mohd Fazaidi Saidin,40, berkata, “kenderaan tersebut boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti komuniti kemasyarakatan.”
Hadir sama menyaksikan penyerahan tersebut, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Muda, Idris Ahmad dan Pegawai Perhubungan Awam Kolej Komuniti Darulaman, Aidtul Shima Che Hassan.
Ulasan