Pengarah JPN Kedah Bantu 6 Beradik Dapat Sijil Kelahiran

Pengarah JPN Kedah bantu 6 beradik dapat sijil kelahiran 

Pengarah JPN Kedah, Zuhair Jamaludin  melawat enam beradik yang tidak memiliki Sijil Kelahiran /Foto: Zihan Zari 

15 Januari 2016

Oleh  MOHD ZIHAN ZARI 

SUNGAI LAYAR, 15 Jan (Malaysiaaktif) — DI ATAS inisiatif  seorang wartawan Malaysiaaktif memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah berhubung enam beradik yang tidak memiliki Sijil Kelahiran, masalah tersebut dapat diselesaikan semalam.

Dengan adanya Sijil Kelahiran, kesemua enam beradik kini dapat merealisasikan impian untuk meneruskan persekolahan.

Pengarah JPN Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, “mereka sememangnya layak membuat permohonan secara pendaftaran lewat dengan mengemukakan borang permohonan bersama dokumen untuk diproses dalam masa 15 hari.”

“Namun begitu, mereka perlu mengemukakan borang permohonan bersama dokumen sokongan,  seperti sijil pernikahan dari Jabatan Agama Islam  dan pengesahan daripada hospital bagi membuktikan kelahiran mereka atau surat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) .

Beliau berkata, “sekiranya terdapat bukti sah, proses pendaftaran lewat dan permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak itu lebih mudah kerana kewarganegaraan kanak-kanak berpandukan taraf kewarganegaraan bapa.

Walau bagaimanapun, sekiranya perkahwinan ibu bapa gagal dibuktikan, mereka masih boleh membuat permohonan kewarganegaraan melalui permohonan ‘anak angkat’ oleh bapa saudaranya.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas melawat enam beradik itu di sini, semalam.

Kesemua enam beradik, Mohamad Syukri Abdul Aziz,15, Mohamad Shafik Abd Aziz,13, Mohamad Anwar Abdul Aziz,11, Mohamad Haikal Alif Abdul Aziz,9, Mohamad Kabir Ibrahim Abdul Aziz,8, dan Nurul Solehah Abdul Aziz,7, kini tinggal menumpang bersama bapa saudara mereka, Ahmad Meera Hussain,40, di Taman Orkid, Fasa 2, di sini.

Abang mereka merayu agar permohonan mereka mendapatkan sijil kelahiran mendapat kelulusan segera bagi membolehkan mereka bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Mereka yang sebelum ini tinggal di Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis, sekarang tinggal bersama bapa saudaranya sejak dua bulan lalu, selepas ibu mereka balik ke Indonesia pada November lepas dan bapa mereka pula menjalani hukuman penjara.

Sebelum ini, Mohd Shukri dan Mohd Syafiq bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu, Alor Setar, dan di Kuala Kubu Baru, Selangor. Bagaimana pun, kerana tidak mempunyai sijil kelahiran mereka berdua terpaksa berhenti.

Menurut, Ahmad Meera,”kesemua enam beradik ini dilahirkan di hospital dan mempunyai kad merah semasa kelahiran mereka.

Buat masa ini, mereka belajar kelas Al-Quran dan akan menghadiri kelas tuisyen supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran.  Selepas mendapat Sijil Kelahiran mereka boleh meneruskan persekolahan.”

Tambah Zuhair lagi ,  “kes enam beradik itu merupakan kes pertama tahun ini, manakala bagi  2015, sebanyak 1,000 kes diterima dengan sebahagian daripadanya sudah diselesaikan oleh JPN.”

Beliau menyeru orang ramai supaya tampil membantu JPN menyalurkan maklumat sekiranya ada individu atau jiran tetangga mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sufian AM, otai kreatif hasilkan buku ‘Panduan Menulis Slogan'

Takungan empangan Kedah mampu bekal air

'Siapa Tutup Lampu' juara Gelanggang Teater II (Kota Seni PJ) 2019 milik KEMUDI