Pendidikan Pra-Sekolah Lahir Generasi Berilmu, Bertaqwa

Pendidikan Pra-Sekolah Lahir Generasi Berilmu, Bertaqwa

9 November 2015

Oleh ZIHAN ZARI 

SUNGAI PETANI, 9 Okt (Malaysiaaktif) — PENDIDIKAN Pra-Sekolah berasaskan pendidikan Islam, seperti TASKA boleh membentuk akhlak, kemahiran berfikir dan kemantapan dari segi sahsiah di kalangan anak-anak.

Peranan guru TASKA penting dalam mendidik untuk melahirkan generasi bertaqwa dan bertanggungjawab.

Ketua Unit Pra-Sekolah TASKA Jabatan Hal-ehwal Agama Islam Kedah, Ustaz Abdul Mohsin Mohd Fadzil berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) 2015 Daerah Kuala Muda, di sini Khamis lepas.

Menurut Abdul Mohsin, “tidak dapat dinafikan bahawa institusi pendidikan Pra-Sekolah, seperti TASKA boleh memainkan peranan melaksanakan tanggung jawab mengasuh, mendidik serta membimbing mereka menjadi generasi yang cemerlang ilmu dan akhlak.”

“Pendidikan kanak-anak perlu diterapkan dari kecil dan memerlukan belaian kasih sayang serta perhatian ibu bapa. Jika ibu bapa kurang memberikan perhatian, mereka akan hilang arah dalam kehidupan, ”ujarnya. 

Peniaga, Rosli Ibrahim,40, berkata, “mendidik anak bukan tugas mudah tetapi kita seharusnya mengambil berat dan memberikan fokus.”

Pekerja swasta, Abu Hashim Shafie pula berpendapat, “mendidik anak elok dilakukan dari kecil kerana bila sudah besar ia menjadi agak sukar.”

Guru Kanan TASKA Surau AL-Hidayah, Jamaliah Abd Razak, berkata, “anak-anak di sisi kita melihat apa kita lakukan, sebab itu kita perlu menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.”

Kesemua sembilan buah TASKA, iaitu TASKA Surau Taman Sri Tanjung, Surau Kampung Kemumbong, Masjid Kampung Batu, Masjid Al-Muhsinin, Surau Al-Hidayah, Masjid Abdul Rahman, Masjid Gurun, Masjid Al Amin dan Masjid Kota Kuala merupakan Pra-Sekolah kelolaan Jabatan Hal-ehwal Agama Islam Kedah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sufian AM, otai kreatif hasilkan buku ‘Panduan Menulis Slogan'

Takungan empangan Kedah mampu bekal air

'Siapa Tutup Lampu' juara Gelanggang Teater II (Kota Seni PJ) 2019 milik KEMUDI