Pembelaan Wanita Dalam Undang-Undang Keluarga Islam

Pembelaan Wanita Dalam Undang-Undang Keluarga Islam


3 November 2015

Oleh ZIHAN ZARI 

SUNGAI PETANI – 2 OKT (MalaysiaAktif) — RAMAI tidak sedar bahawa pembelaan hak wanita termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Menurut Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Kedah, Ustazah Faridah Ahmad, oleh kerana tidak menyedari perkara tersebut, mereka sering kali keliru dan buntu apabila berhadapan dengan masalah rumahtangga.

Faridah berkata, “hak wanita itu jelas di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang bertujuan memberi keadilan menurut hukum syarak supaya tidak ditindas.”

Tambahnya, enakmen ini  juga jelas memberi kelebihan dan menjaga kedudukan mereka sebagai isteri.

Beliau berharap dengan adanya peruntukkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, wanita dapat berfikir untuk menentukan hak supaya kedudukan mereka terbela dan terjamin.

Faridah mencadangkan supaya ditingkatkan lagi kefahaman wanita, khususnya di Kedah dalam hal-hal kekeluargaan Islam dan hak mereka di sisi syarak dan undang-undang semasa melalui program ceramah, forum, bicara wanita di radio, rencana dan artikel di akhbar.

Ini, menurut beliau, perlu agar wanita itu sendiri tidak dizalimi, teraniaya dan berada dalam dosa atau kemurkaan Allah s.w.t. apabila melanggar Hukum Syarak.

Pelajar Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru Sultan Abdul Halim (PUSBA) Nur Aisyah Maisara Abdullah,21, berkata, “Wanita  Islam  perlu tahu hak perundangan serta hak mereka yang ditentukan melalui perundangan syariah mengenai perkahwinan, nafkah, penjagaan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga”.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Kedah, Normah Ramli berkata, “wanita Islam perlu mematuhi bukan sahaja hukum syarak berhubung urusan keluarga, tetapi juga perlu patuh melaksanakan kaedah-kaedah yang ditetapkan dalam undang-undang berkenaan.

Beliau berkata demikian di Majlis Pencerahan Minda Komuniti Setempat anjuran Jabatan Penerangan Kedah, di sini.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sufian AM, otai kreatif hasilkan buku ‘Panduan Menulis Slogan'

Takungan empangan Kedah mampu bekal air

'Siapa Tutup Lampu' juara Gelanggang Teater II (Kota Seni PJ) 2019 milik KEMUDI