APRC 2015 Kukuh Integrasi Mahasiswa Komunikasi ASEAN

APRC 2015 Kukuh Integrasi Mahasiswa Komunikasi ASEAN


9 Disember 2015

Oleh MOHD ZIHAN ZARI 

ALOR SETAR, 9 Dis (Malaysiaaktif)-PERSIDANGAN Universiti ASEAN mengenai Perhubungan Awam dan Komunikasi (APRC 2015) menjadi platform kepada mahasiswa komunikasi Institut Pengajian Tinggi (IPT) di rantau ini berkongsi pendapat dan pengetahuan dalam bidang berkenaan.

Bertemakan ‘Harmoni dan Kepelbagaian: Mewujudkan Strategi Baharu Untuk Perhubungan Awam dan Komunikasi’, APRC 2015 yang dirasmikan pada 28 November lepas mengumpulkan seramai 120 orang peserta dari 19 universiti negara-negara ASEAN, termasuk Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Vietnam dan Malaysia.

Malaysia, antara lain diwakili oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UMP), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Persidangan tiga hari itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Dr Haniff Hassan yang mewakili Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) Datuk Ibrahim Abdul Rahman di sebuah hotel di sini.

Menurut Ibrahim, APRC 2015 menyediakan pemangkin baharu antara Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN bagi membentuk hubungan lebih kukuh demi masa depan bersama.

Ibrahim  yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, berharap persidangan ini mampu menjana pemikiran intelektual dan memberikan impak untuk penganjuran persidangan akan datang.”

Sementara itu, senada dengan Ibrahim, Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kolej Sastera dan Sains (CAS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Massudi Mahmuddin berkata, APRC adalah wadah untuk pengamal perhubungan awam dan mahasiswa komunikasi menyampaikan idea dan berkongsi pengalaman.




Katanya, pembentangan topik-topik berkaitan perhubungan awam dan komunikasi akan merangsang minda dan mencetuskan perbincangan berterusan untuk meningkatkan kefahaman para mahasiswa ASEAN.

“Di akhir persidangan ini, diharapkan para peserta dapat membina jaringan kerjasama erat dalam perkongsian ilmu dan pembangunan bidang perhubungan awam dan komunikasi di rantau Asia Tenggara, khususnya,” katanya lagi.

APRC 2015 dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Institut Perhubungan Raya Malaysia – UUM.

https://malaysiaaktif.my/2015/12/aprc-2015-kukuh-integrasi-mahasiswa-komunikasi-negara-asean/

 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sufian AM, otai kreatif hasilkan buku ‘Panduan Menulis Slogan'

Takungan empangan Kedah mampu bekal air

'Siapa Tutup Lampu' juara Gelanggang Teater II (Kota Seni PJ) 2019 milik KEMUDI