Tetap reda, dilanda musibah berganda
Tetap reda, dilanda musibah berganda
By Admin - 28/10/2021
Oleh ZIHAN ZARI
YAN - “INI kali kedua rumah saya yang letaknya dua meter sahaja dari Sungai Titi Hayun dilanda banjir kilat pada 20 Oktober lalu pada jam 6.30 petang tapi kali ini airnya tinggi luar biasa.
Kejadian ‘kepala air pertama’ berlaku pada 18 Ogos lalu, rumah saya dimasuki lumpur setinggi 50 sentimeter menyebabkan motosikal, kereta dan pelbagai kelengkapan rumah seperti perabot dan barangan elektrik mengalami kerosakan, ”kata Zulkiflie Mat, 50.
Penduduk Kampung Titi Hayun itu berkata, kali pertama ditimpa musibah, beliau menghabiskan wang sebanyak RM1,800 untuk mengupah pekerja membersihkan selut tanah dan lumpur.
Musibah kali kedua menyaksikan beliau menggunakan tenaganya sendiri.
Menurut beliau, tragedi banjir kilat terbaharu menyebabkan rumah yang didiami dimasuki air deras dari sungai belakang rumah yang turun dari arah Gunung Jerai, hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja melepasi paras lutut.
“Saya hanya sempat melihat sahaja ketika berada dalam rumah seakan sama seperti kejadian kepala air sebelum ini, arusnya begitu deras dan amat menakutkan deruan bunyinya.
“Air deras kali ini nampak dahsyat juga telah memberi kesan terhadap struktur tanah dan aliran sungai yang berubah melanda di kawasan ini, ”kata beliau.
“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana awalnya menjangka hujan tidak lebat dan hanya bertindak hanya menutup lubang dalam rumah bagi mengelak air memasuki rumah tetapi perkara sebaliknya berlaku. Mujurlah saya sempat memindahkan ibu saya ke rumah saudara terdekat.
Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa berlaku, isteri dan kedua-dua anak saya selamat.
Beliau menjelaskan: “Kerja-kerja mengorek dan mendalamkan sungai di belakang rumahnya kini dijalankan secara berperingkat-peringkat supaya aliran sungai tidak melimpah dan masuk ke kawasan ini.
“Projek mendalamkan sungai dilihat penting kerana sungai yang cetek memungkinkan banjir melanda lagi,” kata beliau.
Dalam kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk maut selepas dibawa arus deras dan dihempap tanah runtuh dipercayai berlaku selepas hujan lebat luar biasa di puncak Gunung Jerai.
Kejadian yang berulang pada 20 Oktober lalu menyaksikan sebanyak 160 rumah membabitkan perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar selain pekan Yan turut dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 0.7 meter.
- BebasNews
Ulasan