Warga SMK Ibrahim rai persaraan Nasrudin naik helikopter
Warga SMK Ibrahim rai persaraan Nasrudin naik helikopter
Oleh ZIHAN ZARI
02/02/2016
SUNGAI PETANI - SELAMA 36 tahun menyumbang bakti dalam dunia pendidikan Nasrudin Ab Rahman,60, hari ini diraikan oleh guru-guru dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim menaiki helikopter sebagai simbolik meraikan persaraannya sebagai pengetua.
Nasrudin ditemani isterinya, Noren Yusoff diraikan oleh 1,200 pelajar, 106 guru dan 20 orang kakitangan sokongan SMK Ibrahim bersalaman dengan beliau.
Dia kemudiannya diiringi guru dan pelajar sekolah bersama-sama isteri dan anaknya Muhd Azri,19 dan Nur Anis,17, ke kawasan padang untuk menaiki helikopter yang didatangkan khas oleh, Weststar Aviation, syarikat milik bekas pelajar SMK Ibrahim, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim.
Syed Azman yang sudi menaja penerbangan tersebut sebagai menghargai perkhidmatan Nasrudin sebagai pendidik yang berdedikasi tinggi.
Nasrudin merupakan anak keempat daripada sembilan adik-beradik, dilahirkan pada 1 Februari 1956 di Sungai Limau, Yan daripada sebuah keluarga petani yang hidup secara sederhana.
Dia memulakan kerjaya sebagai guru pada 1 Jun 1980 di SMK Bukit Mendi,Triang, Pahang selama hampir 8 tahun sehingga tahun 1988.
Pada tahun 1995 beliau melanjutkan lagi tahap pendidikan beliau di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Sarjana Sains (Pengurusan) di bawah program khas Institut Aminudin Baki.
Pernah berkhidmat dan menyumbang bakti dan keringat di beberapa buah sekolah di Kedah antaranya SMK Yan Kechil, SMK Bukit Selambau, SMK Sungai Limau SMK Gurun dan pada 2012 berkhidmat di SMK Ibrahim.
Ketika ditemui Nasrudin berkongsi kenangan manis sebagai pendidik, berkata, “kepuasan paling utama adalah apabila melihat muridnya berjaya dalam pelajaran dan melahirkan anak didik yang berkualiti.”
SMK Ibrahim merupakan salah sebuah sekolah kluster kecemerlangan yang terkenal di Kedah. Cetusan idea kreatif Nasrudin telah berjaya melonjakkan nama sekolah ini di peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Kedah merangkap Timbalan Presiden 1 Persatuan Alumni SMK Ibrahim (IOBA) , Dr Haniff Hassan, berkata, “Nasrudin sentiasa memberi kerjasama dalam apa jua aktiviti IOBA demi manafaat pelajar-pelajar sekolah ini.
Dia seorang yang cukup tegas dalam mendisiplinkan pelajar bagi memastikan terus cemerlang. Malah dibawah pentadbirannya sekolah ini berjaya menggondol hadiah beberapa pertandingan peringkat kebangsaan,” katanya yang juga Timbalan Presiden 1 IOBA.
Ulasan