Polis Kuala Muda patahkan kumpulan aktif curi kereta dalam OPS Lejang

Polis Kuala Muda patahkan kumpulan aktif curi kereta dalam OPS Lejang

18/01/2016

Oleh ZIHAN ZARI


SUNGAI PETANI - PASUKAN polis berjaya mengesan kumpulan yang aktif mencuri kereta dan menemui tujuh buah kereta yang dilaporkan hilang di sekitar daerah Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media, di IPD  Kuala Muda, di sini, kelmarin. 


Md Zukir berkata, atas maklumat orang awam, anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah mengesan sebuah kereta model Proton Wira warna kelabu  yang dilaporkan hilang di Bakar Arang telah ditinggalkan di tepi jalan di Taman Rhu, Tikam Batu.

Susulan penemuan itu, polis telah menjalankan risikan dan berjaya mengesan kumpulan terbabit yang membawa kepada serbuan di tiga premis yang berasingan di Tikam Batu, Sungai Petani dan Pokok Sena.”

Menurutnya, “susulan itu pada 10 Januari jam 5.00 petang menerusi 'Ops Lejang' sepasukan anggota polis  telah menyerbu di sebuah bengkel kereta di Kampung Padang Buluh, Tikam Batu dan berjaya menangkap lima lelaki Melayu berusia 19 hingga 26 tahun dan salah seorangnya adalah pemilik bengkel itu.

Turut dirampas dua buah kereta jenis Proton Wira  dan Satria Gti, masing-masing di Sungai Petani dan Tasek Gelugor yang dilaporkan hilang pada 12 Disember dan 9 Januari lalu.

Polis juga telah menemui empat buah kereta jenis Proton Wira Aeroback  di Pokok Sena dan Bakar Arang yang dilaporkan hilang pada 9 Januari  dan 22 Disember lalu.

Dua buah kereta lagi Proton Satria Gti yang  dilaporkan hilang pada 6 Januari dan 18 Disember lalu turut ditemui namun hanya tinggal rangka dan telah dipotong dua.”

Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket  ini menggunakan pemutar skru untuk membuka pintu kereta dan membuat sambungan wayar untuk menghidupkan enjin. 

Dua daripada suspek yang ditahan disahkan positif dadah jenis syabu dan kelima-lima suspek telah  direman selama empat hari bermula 11 Jan dan berakhir semalam, selanjutnya akan disambung reman untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun serta dikenakan denda,”ujarnya. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sufian AM, otai kreatif hasilkan buku ‘Panduan Menulis Slogan'

Takungan empangan Kedah mampu bekal air

'Siapa Tutup Lampu' juara Gelanggang Teater II (Kota Seni PJ) 2019 milik KEMUDI