Aifa Permata baru juara kejohanan skuasy junior Terbuka Remaja British 2016
Aifa Permata baru juara kejohanan skuasy junior Terbuka Remaja British 2016
12/01/2016
Oleh ZIHAN ZARI
ALOR SETAR - PUTERI Skuasy Kedah, Aifa Azman, 15, mengharumkan Malaysia apabila merangkul kejuaraan Kejohanan Skuasy Junior Terbuka Remaja British 2016 bawah 15 tahun.
Aifa menumpaskan Marina Stefanoni dari Amerika Syarikat 11-9, 8-11, 11-6, 11-4 pada perlawanan akhir di Sheffield, England, Rabu lepas.
Ini merupakan kejayaan keduanya selepas menjuarai Kejohanan Skuasy Junior Terbuka British tahun lalu. Ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Aifa melahirkan rasa syukur, selepas muncul juara kejohanan antarabangsa itu tercapai.
"Saya akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk muncul juara pada Kejohanan Skuasy Junior Terbuka Pulau Pinang pada Jun ini dan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang akan berlangsung Julai ini.
Saya mula menceburkan diri dalam sukan skuasy ketika berusia enam tahun, sentiasa menguruskan masa, pagi ke sekolah dan petang membuat latihan selama dua jam sehari di Kompleks Sukan Mu'adzam Shah, ”katannya kepada penulis.
Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata, “MSN dan rakyat Kedah cukup bangga apa yang telah dicapai oleh Aifa.
MSN dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persatuan Skuasy Kedah akan menitikberatkan pembangunan Skuasy bagi mencari lebih ramai lagi atlit muda yang berbakat di bawah umur 15, 13 dan 12 tahun.”
Menurutnya, “bayaran insentif RM500 sebulan akan diberikan kepada atlit yang mewakili negeri, kebangsaan dan berpeluang ke luar negara untuk menyertai pelbagai program latihan dan pertandingan mengikut kemampuan mereka.
Semoga Aifa dapat mengikut jejak dan menjadi pengganti ratu skuasy negara, Datuk Nicol David suatu hari nanti.”
Permata baru ini akan digilap terus bakatnya dan pihak MSN akan menyediakan skim khas sebagai pembakar semangatnya untuk terus mencipta kejayaan dalam sukan itu, ”ujarnya.
Aifa akan mengambil ujian pentaksiran P-T-3 tahun ini bertekad meningkatkan latihannya bersama jurulatih dan mendisiplinkan diri untuk pembahagian masa untuk pelajaran dan sukan.
Selain itu , kejayaan berganda turut diraih oleh seorang lagi adik bongsunya, Aira Azman, 12, yang muncul juara pada Pontefract Junior Open 2015 dalam kategori bawah 13 tahun .
Terdahulu ketibaan Aifa disambut dan diberikan sorakan yang gemuruh oleh guru, para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma dan ahli keluarganya.
Ulasan