UPOH di Kedah berjaya dapatkan 2 orang penderma organ baharu
UPOH di Kedah berjaya dapatkan 2 orang penderma organ baharu
By Editor
01/02/2020
Oleh ZIHAN ZARI
ALOR SETAR – BUKAN mudah untuk mendapatkan penderma organ dan tisu, namun Unit Perolehan Organ dan Tisu Hospital (UPOH) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini berjaya memperoleh dua penderma pada tahun lepas.
Tindakan yang diambil oleh penderma itu memberi sinar baharu kepada mereka yang memerlukannya, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Mohd Fikri Ujang ketika merasmikan program Walkathon dan Zumba bertemakan ‘Walk For Life’ baru-baru ini.
Beliau mengakui bahawa “bilangan pendermaan organ dan tisu di negara ini masih lagi ditahap yang rendah berbanding dengan negera-negara maju yang lain, tetapi usaha baik yang dilakukan UPOH membuatkan hasil.”
Secara keseluruhan, kata Mohd Fikri, terdapat lebih kurang 20,000 pesakit di negara ini yang bergantung pada mesin dialisis akibat kegagalan fungsi buah pinggang.
“Seramai tiga hingga 7 orang pesakit amat memerlukan hati, jantung dan paru-paru untuk meneruskan kehidupan setiap hari, mereka juga berharap diberi peluang untuk menjalani kehidupan normal seperti insan lain, “kata tambah beliau.
Menurut Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, “pendermaan organ merupakan proses mendermakan bahagian tubuh seseorang selepas meninggal dunia untuk pemindahan organ dan tisu (transplantasi) kepada penerima yang memerlukan.
Jenis organ yang boleh didermakan termasuklah jantung, paru-paru, hati, buah pinggang dan pankreas manakala tisu pula seperti kornea mata, kulit, injap jantung dan tulang.
Pada bulan Jun 1970, Majlis Fatwa Kebangsaan telah membenarkan urusan pendermaan dan pemindahan organ yang dihukum sebagai harus dengan syarat apa yang dilakukan untuk tujuan membantu orang lain.
Secara umumnya semua agama mengiktiraf pendermaan organ selepas penderma atau pengikrar meninggal dunia sebagai amalan yang mulia, tiada agama yang menghalang penganutnya untuk melakukan kebaikan, kata Dr. Mohd Fikri.
Sementara itu, Penyelaras UPOH di HSB , Dr. Siti Yurnizar Mohd Yusoff, pula berkata, program yang diadakan adalah bertujuan mempromosi amalan gaya hidup sihat dan mendedahkan orang ramai tentang pendermaan organ dan menjadi pengikrar berdaftar di negara ini.
-BebasNews



Ulasan