Pelancaran Putra laungan Allahuakbar permasyhuran sumpah keramat 10 Perkara

Pelancaran Putra laungan Allahuakbar permasyhuran sumpah keramat 10 perkara 


By Editor - 29/09/2019

LAPORAN/Foto ZIHAN ZARI

KUALA LUMPUR – KIRA-KIRA  3,000 ahli dan penyokong Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dari seluruh Malaysia membanjiri Padang Bola Sepak Kampung Pindah, Kampung Baru melaungkan ‘Allahuakbar’ sempena pelancarannya, di sini semalam.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dalam ucapan pelancaran parti itu berkata, “mutakhir ini, ‘kaduk sudah naik junjung’ dan ‘cacing dibiarkan naik ke mata’.



Umat Islam tidak boleh beretorik lagi, sekadar melaungkan ‘Hidup Melayu’ dan berteriak akan membela Melayu, tetapi jika terus bersandiwara politik, bertolak ansur tak bertempat maka episod menang sorak kampung tergadai akan berterusan.

Dr. Ibrahim berkata, “dahulu kita kuat kerana teguh berpegang kepada nasionalisme Melayu Islam yang tulen, kini makin hancur dan terus layu kerana terlalu mengejar kebendaan dan pangkat. Sesama sendiri kita bersengketa dan akhirnya pihak yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu.”

Katanya, “konsep ketuanan Melayu bukan soal miskin, kaya atau mengharapkan belas ihsan orang lain tetapi yang dimaksudkan ialah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Hari ini, kami bangkit mewarisi kepahlawanan dan ketegasan pejuang-pejuang terdahulu, semangat ini bersemadi di dalam roh jasad orang Melayu, umat Islam dan kaum pribumi yang melahirkan Putra.

Putra yakin berani memperjuangkan berteraskan perjuangan nasionalisme tulen, beristiqmah serta mampu menyatupadukan ummah dan seterusnya menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional.”

Tambahnya, “perpecahan di kalangan orang Melayu bukan kerana bertambahnya parti politik, sebaliknya mereka bersikap hipokrit dan mereka cakap tak serupa bikin.

Sehubungan itu, Putra menolak dasar kesamarataan kerana sudah diikat dan terikat dengan kontrak sosial Perkara 153 yang merupakan asas Perlembagaan Persekutuan.



Cukuplah kita bertolak ansur dan bersabar, kita mahu memastikan anak cucu selamat di bumi yang kita pijak ini tidak hilang seperti bumi Palestin hari ini dijajah oleh Yahudi zionis.

Dalam sidang media, Ibrahim berkata, “setakat ini kita belum fikiran soal kedudukan Putra di blok mana, mahu memperkuatkan parti di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

Putra telahpun mendapat kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menggunakan simbol tanjak, sekali gus memberi ‘lampu hijau’ ahlinya untuk bertanding pilihan raya akan datang, “ujarnya.


Beliau seterusnya melafazkan Permasyhuran Sumpah Keramat 10 Perkara:

Pertama, Putra akan terus berjuang, dan jika berkuasa, hanya seorang Melayu dan Islam sahaja boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.  Jawatan utama persekutuan hendaklah terdiri daripada orang Melayu.

Kedua, memastikan undang-undang melindungi Islam dan Raja-Raja Melayu bagi menangani dan mencegah sebarang ancaman yang menghina dan mengugat Islam sebagai agama persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Ketiga, memperkukuhkan Islam sebagai agama persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan serta memperkasakan status Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil.

Keempat, memastikan hanya ada satu Aliran Pendidikan Kebangsaan dalam Sistem Pendidikan Negara selaras dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Memperjuangkan dan memastikan pelajar Bumiputera menerima biasiswa sepenuhnya selaras dengan Hak Keistimewaan Melayu di bawah Perkara 4 Fasa 153 Perlembagaan Negara.

Kelima, memperkasakan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Keenam, memperjuangkan dan memastikan Tanah Rezab Melayu dikembalikan kepada status asal sebanyak 50 peratus di seluruh negara.

Ketujuh, memastikan kek ekonomi Negara diagihkan secara adil antara kaum dalam semua bidang.

Kelapan, mempertahankan identiti bumiputera dan bukan bumiputera terus dikekalkan bagi memastikan Hak Keistimewaan Melayu seperti mana yang terkandung dalam Fasa 153 Perlembagaan Persekutuan.

Kesembilan, akan mengujudkan Suruhanjaya Diraja Kewarganegaraan bagi mengkaji semula mereka yang telah menerima kewarganegaraan Malaysia dan permohonan kewarganegaraan wajib lulus ujian Bahasa Melayu.

Kesepuluh, memperjuangkan agar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara lebih berkesan.

-Bebasnews

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sufian AM, otai kreatif hasilkan buku ‘Panduan Menulis Slogan'

Takungan empangan Kedah mampu bekal air

'Siapa Tutup Lampu' juara Gelanggang Teater II (Kota Seni PJ) 2019 milik KEMUDI