Bersediakah kita untuk membina satu bangsa Malaysia?
Bersediakah kita untuk membina satu bangsa Malaysia?
By Editor - 04/09/2019
Oleh ZIHAN ZARI
SHAH ALAM - “ISU perpaduan ini perlu kita semarak dan bugarkan dari masa ke semasa untuk menjadi wacana yang berterusan, tidak boleh terhenti dan selesai begitu sahaja.”
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian pada program Wacana Sinar ‘Perpaduan Kaum di Malaysia Makin Kukuh atau Makin Jauh’, di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam semalam.
Dr Asyraf berkata, kita harus menghargai kepelbagaian dan perbezaan yang ada antara satu sama lain supaya akhirnya kita ada nilai hormat menghormati.
Ada perkara yang kita bersetuju ada perkara yang kita tidak bersetuju.
Ada perkara yang menjadi amalan kita, yang bukan menjadi amalan mereka tetapi itu adalah perbezaan yang kita harus hormati dan hargai supaya ia menjadi satu perkara yang amat positif.
“Dalam konteks Malaysia , pada awalnya kita memilih jalan yang sedikit sukar ke arah membentuk perpaduan kaum berbanding dengan negara jiran, Indonesia.
Kita memilih jalan pendekatan integrasi berbanding mereka memilih prinsip aslilasi untuk membentuk satu bangsa Indonesia.
Di sana mereka juga ada kaum Cina, India dan suku bangsa lain namun dileburkan terus identiti kaum dan bangsa masing – masing yang kemudiannya diselaraskan sebagai bangsa Indonesia sebagai asas perpaduan mengikut ‘Pancasila’.
Berbanding di Malaysia, kita mengiktiraf adanya pelbagai kaum dan pelbagai bangsa seperti Cina dan India dan mengekalkan identiti ini sebagai satu keunikan dalam konteks membina negara. ”
Katanya, “pada masa yang sama kita masih mencari formula bagaimana kepelbagaian ini harus disatukan dalam erti kata terasnya mestilah Malaysia.
Bagaimana kita hendak menyatukan, namun perlu belajar dari kelemahan, bagaimana hendak memastikan semangat dan roh perlembagaan benar-benar terlaksana. ”
“Secara ikhlas dan jujur bersediakah kita untuk betul-betul hendak membina satu bangsa Malaysia yang berhakikat kepelbagaian atau hanya bercakap indah di bibir sahaja tetapi kita tidak menghayatinya, tidak bersedia meletakkan sedikit kepentingan kaum dan bangsa untuk meletakkan asas-asas perlembagaan dan Rukun Negara sebagai teras untuk menyatukan kita semua, ujarnya.
Wacana dibarisi ahli panel terdiri daripada Moderator, Pengacara TV, Saiful Nizam Ismail, Pakar Perlembagaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, Ahli Suruhanjaya DiRaja Wang Kelian, Dr Tan Seng Giaw dan Ahli Sosiologi Politik USM, Profesor Dr Sivamurgan Pandian.
– BebasNews
Ulasan