Takungan empangan Kedah mampu bekal air
03/12/2015
Oleh ZIHAN ZARI
Takungan empangan Kedah mampu bekal air
ALOR SETAR - MADA kini mengurus tiga buah empangan iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning. Empangan Pedu dan Muda yang siap dibina pada tahun 1969 membekalkan air pengairan tanaman padi dua kali setahun di kawasan Muda seluas 100,685 hektar.
Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah, Ir Hor Tek Lip berkata, “Empangan Ahning siap dibina pada tahun 1989 untuk bekalan air mentah selain keperluan domestik dan industri di kawasan utara Kedah termasuk Langkawi dan selatan Perlis.”
“Takungan air akan dilepaskan berdasarkan kepada keperluan semasa air mentah di Sungai Ahning dan Sungai Padang Terap.
Ketika ini operasi Empangan Pedu diintegrasikan bersama Empangan Ahning bagi memenuhi keperluan pengairan di kawasan Muda, domestik dan industri, ”kata Hor kepada penulis ketika di wawancara sempena perasmian penutup Bengkel Latih Amal (Tabletop Exercise) Pembangunan Pelan Tindakan Kecemasan, Emergency Response Plan - Simulasi Kegagalan Empangan-Empangan MADA di Hotel Grand Alora di sini, kelmarin.
Menurut Hor, “fungsi ketiga-tiga empangan ini sebagai tebatan banjir di kawasan tadahan dan hulu sungai. Kedudukan takungan semasa ketiga-tiga empangan ini secara puratanya takungan berada pada tahap 95% penuh.
Mengikut simulasi yang dijalankan oleh pihak MADA pada bulan Disember 2015 dan Januari hingga Februari 2016 menunjukkan bahawa takungan empangan masih lagi mampu untuk menakung air serta mengambilkira ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.
Ianya telah yang dikemaskini pada 26 Oktober 2015 iaitu di bahagian Utara Semenanjung Malaysia akan menerima hujan pada paras sedikit melebihi purata pada bulan Disember 2015 termasuk pelepasan air dari empangan bagi tujuan pengairan dan keperluan domestik serta industri.”
Menurutnya lagi, “MADA akan segera bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dibangunkan mengandungi beberapa tindakan kecemasan yang perlu diikuti jika berlaku bencana dan memberi panduan kepada setiap anggotanya mengenalpasti setiap tugas dan tanggungjawab masing-masing.”
Menurutnya, “bengkel ini secara tidak langsung memperkenalkan kepada setiap agensi yang terlibat mengenai justifikasi empangan-empangan milik MADA dan setiap agensi yang terlibat akan mengurus SOP masing-masing dengan lebih berkesan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) dan Setiausaha Kerajaan Kedah paling awal mendapat maklumat mengenai kegagalan empangan akan menubuhkan Bilik Gerakan Kecemasan (Emergency Command Centre) bagi menyelaras aktiviti bantuan dan menyelamat.
Pihak MADA akan menubuhkan Bilik Gerakan Kecemasan (ECC) serta-merta dan maklumat semasa (Real Time Info) akan disalurkan terus menerus kepada pihak APBN, Polis dan SUK Negeri.
Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) juga akan di pohon untuk memberikan data semasa keadaan cuaca di kawasan bencana yang bertujuan untuk memberikan maklumat awal supaya aktiviti bantuan dan menyelamat dapat di rancang dengan lebih teliti.
MADA berharap agar dengan adanya program latih amal ini dapat memastikan setiap agensi yang terlibat memahami sepenuhnya peranan dan tugas masing-masing ketika berlakunya bencana seperti kegagalan empangan.
Setiap agensi juga perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menjadikan program latih amal ini sebagai satu program wajib yang perlu di letakkan di dalam jadual masing-masing dan ianya juga perlu dijalankan setiap tahun.
Selain itu, pihak agensi juga dapat dilatih dan setiap ketidaklancaran tugasan dapat dikenal pasti melalui latihan ini seterusnya setiap agensi ini dipastikan sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga.”
"Sehingga kini tiada isu berbangkit berkaitan ketiga-tiga empangan milik MADA, pihaknya sentiasa komited memastikan operasi, penyenggaraan, pemantauan keselamatan empangan dan pengurusan tasik serta kawasan tadahan diuruskan dengan baik bagi memastikan kelestarian sumber air di Utara Kedah, sebahagian Perlis dan Langkawi.
Latihan pengetahuan kesiapsiagaan mengikut Pelan Tindakan Kecemasan untuk menghadapi kemungkinan empangan pecah disebabkan kegagalan strukturnya mungkin akan berlaku pada suatu masa yang tidak dapat dijangkakan.
Namun kita masih berpeluang untuk mengurangkan risiko melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan dengan teknik yang betul, ujarnya. ”
Penyelaras Media Jabatan Penerangan Kedah, Che Wan Shamsudin berkata, “semua agensi harus dilengkapi dengan pengetahuan asas tentang pengurusan krisis dan kesiapsiagaan menghadapi bencana jika tidak akan sukar untuk menghadapinya. ”
Pegawai Penerangan Daerah Pendang, Harun Kereya, berkata, “simulasi ini sebagai langkah persediaan menghadapi bencana, mendedahkan peranan dan tanggungjawab setiap agensi jabatan bertindak segera secara bersepadu ketika menghadapi kecemasan.”
Bengkel berlangsung dua hari ini anjuran MADA dengan kerjasama UNITEN & RD Sdn Bhd dan Universiti Tenaga Nasional disertai sebanyak 140 peserta melibatkan Polis, ATM, Bomba, JPAM, Jabatan Penerangan, Jabatan Pelajaran, SUK Kedah, JKR, Jabatan Meterologi, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masayarakat.
Ulasan